BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Seramai 61 orang pelajar Darjah 6 dari Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Majeedah Nuurul Bolkiah, Kampung Kilanas diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran di Dewan Ar-Rahmah, Kampung Bebatik Kilanas, kelmarin.
Majlis Khatam Al-Quran berkenaan diadakan bagi mengiktiraf pencapaian para pelajar yang telah berjaya menyempurnakan bacaan 30 juzuk Al-Quran, selain menggalakkan mereka untuk terus mengamalkan membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Ketua Bahagian Ko-kurikulum di Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Awang Mohammad Wizani bin Haji Awang Ali.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh tetamu kehormat dan kemudian diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para pelajar yang diraikan.
Tetamu kehormat kemudiannya menyampaikan sijil kepada para pelajar.
Majlis turut diserikan dengan bacaan dikir dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Sajana bin Haji Sibau.
Daripada 61 pelajar itu, 29 terdiri daripada pelajar lelaki dan 32 terdiri daripada pelajar perempuan.





