Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Sebanyak 61 petak telah menyertai Ekspo Bina Brunei 2024 anjuran Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan di Dewan Munawwarah, Tingkat 7, Bangunan Setia Point, Kampung Jaya Setia, Mukim Berakas, hari ini.
Terdahulu, perasmian ekspo berkenaan di Dewan Mawaddah, Tingkat 7 telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku tetamu kehormat.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yakub; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta penaja-penaja.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohammad Salleh yang antara lain mengongsikan mengenai penerbitan Buku Pelan Strategik Kementerian Pembangunan 2024-2029 yang menjadi salah satu pencapaian kementerian dalam memberikan hala tuju bagi tempoh lima tahun ke hadapan untuk memastikan pembangunan negara terus maju dan berdaya saing.
Beliau turut menyentuh mengenai Ekspo Bina Brunei 2024 yang bertemakan Build Brunei Better itu bertujuan untuk menyediakan platform bagi kerjasama dalam mempertingkatkan penyebaran maklumat mengenai perkhidmatan, peraturan, garis panduan terkini dan amalan-amalan baik.
Ekspo itu memberi peluang orang ramai untuk berinteraksi secara langsung dengan peserta pameran bagi mendapatkan penerangan lebih lanjut mengenai produk dan perkhidmatan mereka, serta diharapkan dapat menarik minat anak-anak tempatan menceburi kerjaya dalam industri pembinaan.
Majlis perasmian ekspo itu juga diselajurkan dengan penyampaian Anugerah Cemerlang Industri Pembinaan (ACIP).
Anugerah tersebut diperkenalkan sebagai pengiktirafan kepada syarikat kontraktor yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan yang telah berjaya menyempurnakan projek pembinaan dengan prestasi cemerlang dan berkualiti selaras dengan Pelan Perancangan Strategik Kementerian Pembangunan 2018-2023 iaitu dalam usaha bagi mendukung pembangunan perniagaan tempatan dalam industri pembinaan di negara ini.
Majlis diteruskan dengan Yang Berhormat Dato menandatangani plak bagi pelancaran ekspo tersebut dan melawat petak-petak pameran yang disertai oleh jabatan-jabatan kerajaan yang berkepentingan seperti Jabatan Tenaga, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Jabatan Kemajuan Perumahan dan sektor swasta yang terdiri dari syarikat-syarikat seperti pembina, arkitek, ejen-ejen hartanah dan lainnya.
Ekspo tersebut dibukakan selama empat hari hingga Sabtu ini.