BARCELONA, 30 OKT – Pasukan penyelamat Sepanyol hari ini bertungkus-lumus menyelamatkan orang yang terperangkap oleh air banjir yang telah meragut kira-kira 62 nyawa di wilayah Valencia timur.
Perdana Menteri Pedro Sanchez menyeru rakyat untuk tidak mengurangkan tahap kewaspadaan mereka semasa kecemasan berterusan dan berjanji untuk tidak meninggalkan mangsa bencana yang jarang dilihat di negara Eropah itu.
Hujan lebat dan angin kencang telah melanda Sepanyol sejak awal minggu, menyebabkan banjir di wilayah timur Valencia dan selatan Andalusia.
Perkhidmatan kecemasan di wilayah Valencia mengumumkan angka kematian sementara sebanyak 62 orang di X, sambil menambah bahawa mayat masih ditemui dan dikenal pasti.
Jumlah itu dijangka meningkat kerana wilayah lain masih belum melaporkan mangsa.
“Beberapa ratus orang” masih terperangkap di dua lebuh raya di wilayah Valencia, menurut ketua perkhidmatan bomba, Jose Miguel Basset.
Sebahagian kawasan di wilayah Valencia mengalami gangguan bekalan elektrik dan telefon manakala beberapa tempat terputus hubungan akibat jalan raya yang dinaiki air, menyukarkan usaha menyelamat, kata presiden wilayah, Carlos Mazon kepada pemberita.
Kereta berselerak dan bertindih di atas satu sama lain di jalan raya berhampiran bandar pantai Mediterranean Valencia selepas kejadian banjir lumpur, menurut seorang wartawan AFP.
Penduduk berusaha untuk membersihkan lumpur dari rumah mereka dengan baldi dan meredah air separas pinggang dalam usaha menyelamatkan harta benda mereka.
Maria Carmen, seorang penduduk bandar Valencia, memberitahu penyiar awam Sepanyol, TVE bahawa dia memanjat melalui tingkap keretanya dan berlindung di atas bumbung van selama berjam-jam untuk mengelak dari air banjir. – AFP