BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Seramai 62 penjawat awam yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan telah menerima pingat kehormatan Negara Brunei Darussalam iaitu Pingat Kerja Lama (PKL) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-78 bagi Tahun 2024.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, majlis penyampaian pingat itu berlangsung di Blok Menara, Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian pingat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin; peringkat kepimpinan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan serta ahli keluarga para penerima pingat.
Pengurniaan PKL ini adalah untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada para penerima atas sumbangan dan jasa bakti mereka kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab selama 20 tahun dalam Perkhidmatan Awam.
Pengurniaan itu akan turut menjadi pemangkin semangat kepada para penerima untuk terus mencurahkan bakti dengan setia demi kerajaan dan negara.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.




