TOKYO, 29 JULAI – Beberapa atlet balapan dan padang Australia menjalani pengasingan diri selepas terdapat kes positif COVID-19 membabitkan jaguh lompat bergalah Amerika Syarikat (AS), Sam Kendricks.
“Atlet balapan dan padang Australia di Sukan Olimpik Tokyo melakukan pengasingan diri di bilik masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga selepas mendapat berita mengenai atlet olahraga AS positif COVID-19,” kata badan induk olahraga Australia.
Jelasnya, atlet olahraga mereka sekarang ini melakukan prosedur ujian sejajar dengan protokol pasukan Olimpik Australia.
Tindakan itu diambil selepas Ketua Olimpik AS berkata, Kendricks tidak dapat beraksi di Olimpik kerana diuji positif COVID-19. Kenyataan badan induk olahraga Australia tidak menyebut berapa ramai atlet mereka yang diperintah untuk dikuarantin.
The Sydney Morning Herald melaporkan bahawa kesemua 63 atlet balapan dan padang Australia diperintahkan agar melakukan pengasingan kendiri.
Akhbar berkenaan melaporkan atlet lompat galah Australia, Kurtis Marschall (gambar) juga disahkan sebagai kontak rapat dengan Kendricks dan beberapa lagi atlet olahraga negara berkenaan juga mungkin telah berinteraksi dengan atlet AS itu. – AFP