Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    63 maut akibat malnutrisi di Sudan

    SUDAN, 11 OGOS – Malnutrisi telah membunuh 63 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dalam masa seminggu sahaja di bandar El-Fasher yang terkepung di Sudan, kata seorang pegawai kanan kesihatan kelmarin.

    Pegawai dari Kementerian Kesihatan Darfur Utara, yang memberitahu AFP dengan syarat namanya tidak disiarkan, berkata jumlah kematian hanya termasuk mereka yang berjaya sampai ke hospital, sambil menambah banyak keluarga mengebumikan mayat mereka tanpa mendapatkan bantuan perubatan kerana keadaan keselamatan yang lemah dan kekurangan pengangkutan.

    Sejak Mei tahun lalu, El-Fasher, ibu kota Darfur Utara, telah dikepung oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera, yang telah bertempur dengan tentera tetap Sudan sejak April 2023.

    Bandar itu kekal sebagai pusat bandar terakhir Darfur yang utama dalam kawalan tentera, dan baru-baru ini diserang semula oleh RSF selepas kumpulan itu berundur dari ibu negara Sudan, Khartoum, awal tahun ini.

    Serangan RSF di kem perpindahan Zamzam berhampiran pada April memaksa puluhan ribu orang melarikan diri – dengan kebanyakan mereka kini berlindung di El-Fasher.

    Dapur komuniti, yang pernah menjadi talian hayat, sebahagian besarnya telah ditutup kerana kekurangan bekalan. Sesetengah keluarga dilaporkan masih hidup dengan memakan makanan haiwan ternakan atau sisa buangan makanan.

    Di dapur komuniti terbesar di bandar itu, kira-kira 1,700 orang menerima hidangan tradisional Sudan, aseeda – bubur yang diperbuat daripada bijirin atau tepung sorghum – setiap pagi, tetapi jumlah kandungannya telah menyusut secara mendadak.

    “Enam bulan lalu, kami menyediakan dua hidangan setiap hari, tetapi sekarang, disebabkan kekurangan dan pasar kering, hanya satu hidangan disediakan,” beritahu Magdi Youssef, salah seorang pengurus dapur, kepada AFP. – AFP

    Gambar bertarikh 21 Jun 2004 menunjukkan kanak-kanak kekurangan zat makanan diberi makan di pusat pemakanan Doktor Tanpa Sempadan (MSF), di kem Mornay, di barat Darfur, Sudan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda