Friday, November 8, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    63 restoran, kedai makan daftar program Menu Rahmah

    KOTA KINABALU, 24 FEB – Sebanyak 63 premis restoran dan kedai makan di Sabah telah mendaftar bagi menyertai program Menu Rahmah (gambar-Agensi) sejak ia dilancarkan pada 31 Januari lepas, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Georgie Abas.

    Beliau berkata program itu mendapat sambutan yang amat baik daripada peniaga di negeri ini, malah ada beberapa restoran dan kedai makan melaksanakannya sebelum Menu Rahmah diperluas ke negeri itu lagi, iaitu sebaik mengetahui pelancarannya.

    Katanya KPDN Sabah akan sentiasa memantau restoran dan kedai makan yang terlibat dalam program ini bagi memastikan hidangan disediakan memenuhi kriteria dari segi harga, kuantiti mahupun kualiti.

    “Pihak kami terus komited dalam memperkasakan pelaksanaan program Menu Rahmah kepada pengusaha makanan di seluruh negeri melalui bantuan promosi dan hebahan di pelbagai saluran media, termasuk media sosial.

    “Walaupun tiada bantuan dari segi kewangan atau subsidi kepada pengusaha restoran dan kedai makan bagi program ini, KPDN sedia membantu dalam melakukan hebahan dan promosi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Georgie berkata peserta terbaharu program itu adalah Kolej Teknologi Yayasan Sabah, yang menjadi institut pengajian tinggi pertama menawarkan Menu Rahmah di kafeteria dan kantin mereka di negeri ini.

    Menurutnya, program Menu Rahmah merupakan inisiatif yang digerakkan oleh swasta dan penyertaan pengusaha makanan menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial  korporat (CSR) bagi membantu rakyat yang memerlukan.

    “KPDN Sabah amat mengalu-alukan pengusaha makanan untuk menyertai program Menu Rahmah ini dan mengambil peluang menunaikan tanggungjawab sosial korporat masing-masing sekali gus membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup,” kata Georgie. – Bernama

    Bisnawati Kahar menunjukkan contoh hidangan Menu Rahmah di restoran beliau. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda