Wednesday, October 23, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    630 hadir forum bincang kaitan teknologi, kesihatan mental

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 23 OKT – Dengan tema utama Sambutan Majlis Ilmu 2024 iaitu Menangani Gejala Mental, satu forum bersempena Majlis Ilmu 2024 bagi Daerah Tutong telah diadakan di Dewan Mahad Islam Brunei, Daerah Tutong kelmarin.  

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang), Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja-Seminar Majlis Ilmu 2024; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan; ketua-ketua jabatan dan bahagian; pegawai-pegawai kanan; pegawai dan kakitangan kerajaan; para jemputan khas; ahli majlis perundingan kampung di Daerah Tutong; belia-belia masjid dan muslimah; pihak swasta; pensyarah-pensyarah; penuntut-penuntut dari institut pengajian tinggi dan persatuan-persatuan serta penduduk kampung.

    Forum dengan tajuk Teknologi dan Kesihatan Mental: #SharingPositivity #AntiSocial’ itu telah menyaksikan perkongsian daripada tiga orang panel daripada Penolong Kaunselor Penjara, Perkhidmatan Kaunseling Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Fariszal bin Ali; Penolong Profesor, Pusat Penataran Ilmu & Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman; dan Pegawai Psikologi, Pendidikan, Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Pengiran Salimatul Sa’ada binti Pengiran Mohd Salleh dengan forum dipengerusikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.

    Antara inti pati yang diketengahkan dalam forum yang dihadiri oleh kira-kira 630 orang itu ialah mengenai kepentingan menyebarkan kesedaran mengenai kesihatan mental dan gaya hidup positif sebagai tanggungjawab bersama yang perlu digalas oleh semua pihak terutamanya dalam kalangan belia di negara ini. Menurut ajaran agama Islam, kesihatan fizikal dan kesihatan mental merupakan salah satu anugerah dan nikmat yang wajib disyukuri serta dijaga dan dipelihara oleh setiap individu.

    Sesi forum bersempena Majlis Ilmu 2024 akan diteruskan lagi di Pusat Insani, Seria Daerah Belait sebagai daerah yang terakhir dan disampaikan oleh Profesor Kunjungan, Fakulti Usuluddin UNISSA, Profesor Dr Ustaz Abdul Somad Batubara esok, 24 Oktober.

    Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir ke forum yang akan bermula pada jam 8.30 pagi bagi menimba ilmu yang bermanfaat.

     

    Gambar Captions:

    Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah hadir selaku tetamu kehormat pada forum berkenaan.
    Barisan panel dan moderator semasa forum berkenaan.
    Antara yang menghadiri forum berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH NURDIYANAH R

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda