Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Negara Brunei Darussalam mencatatkan satu kes import baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada seramai 261 orang, manakala tiada kes sembuh telah dicatatkan pada hari ini, menjadikan kes yang aktif kepada 10 kes.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan melalui siaran akhbar situasi terkini jangkitan COVID-19 di negara ini, kes 261 ialah seorang lelaki berumur 67 tahun yang tiba ke negara ini dari Jepun melalui Singapura pada 18 Jun 2021.
Beliau tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan. Penyiasatan dan pengesanan kontak mengesahkan tidak ada kontak terdekat bagi kes baharu tersebut memandangkan kes itu telah dikuarantin sebaik saja tiba ke negara ini dan keseluruhan pengendalian perjalanan semasa ketibaan dan pengasingan dirinya telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.
Sementara itu, kesemua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah dalam keadaan yang baik.
Tambah kenyataan itu lagi, kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (421 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 120 kes.
Manakala itu, sejumlah 852 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, di mana sejak Mac 2020, sejumlah 20,799 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu pula, sebanyak 275 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 141,157 ujian.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.