Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Orang ramai dan pengunjung Kompleks Membeli-belah Times Square tidak melepaskan peluang memberikan sokongan terhadap kempen derma darah anjuran Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Beruniform dan Perkhidmatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum dengan kerjasama Bahagian Tabung Simpanan Darah Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.
Kempen sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 tahun (HK-40) itu telah berjaya mengumpul sebanyak 64 pain darah.
Antara objektif kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menderma darah yang boleh menyelamatkan nyawa selain membantu menambah simpanan tabung darah, Hospital RIPAS.
Di samping itu, ia juga adalah sebahagian daripada aktiviti bagi memeriahkan sambutan HK-40.