KOTA BHARU, 10 SEPT – Sebanyak 446 kes malaria monyet direkod di Kelantan bagi tempoh 2016 hingga kini dengan 65 kes dicatat di negeri ini setakat Januari hingga Ogos lepas.
Ketua Penolong Pen garah Kanan Unit Vektor, Cawangan Kawalan Penyakit Berjangkit, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dr Ahmad Syaarani Yasin berkata bagaimanapun, tiada kes kematian berkaitan penyakit berkenaan dilaporkan sepanjang tempoh lima tahun lepas.
“Kalau lihat kepada 65 kes tahun ini, secara puratanya terdapat lapan kes untuk sebulan, maksudnya sentiasa ada rakyat Kelantan yang dijangkiti,” katanya semasa menjadi tetamu dalam program Slot Kesihatan terbitan radio KELANTANfm, hari ini.
Memperincikan 65 kes yang dilaporkan itu, Dr Ahmad Syaarani berkata ia merangkumi empat daerah di Kelantan iaitu Gua Musang yang merekodkan sebanyak 38 kes, diikuti Kuala Krai dengan 15 kes, Jeli (10 kes) dan Tanah Merah (dua kes).
Mengulas lanjut, beliau berkata individu paling berisiko dijangkiti penyakit itu adalah mereka yang melakukan aktiviti riadah di kawasan atau pinggir hutan terutamanya di empat daerah berkenaan.
“Sekiranya mengalami gejala malaria seperti demam panas, muntah dan sebagainya selepas melawat kawasan hutan terutamanya di empat daerah ini, maka segera dapatkan rawatan serta ujian di klinik kesihatan terdekat,” katanya yang turut meluahkan kebimbangan tentang kurangnya kesedaran orang ramai mengenai penyakit itu. – Bernama