Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Seramai 65 pegawai dan kakitangan Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd (Takaful Brunei) menyertai siri pertama Kursus Penyempurnaan Jenazah yang diadakan di Dewan Serba guna, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, hari ini.
Kursus anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dan Ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dengan kerjasama Takaful Brunei itu bertujuan memperkukuh penguasaan ilmu Fardu Kifayah, khususnya dalam memastikan pengurusan jenazah dilaksanakan dengan tertib, sempurna dan mematuhi tuntutan hukum syarak.
Program berkenaan diadakan pada setiap Khamis bagi bulan Ogos dan September, iaitu hari ini dan 21 Ogos serta 11 dan 25 September 2025.
Sesi tazkirah disampaikan oleh Imam Masjid Kampung Pulaie, Haji Muhammad Nuralif bin Haji Talip, yang turut memberikan latihan praktikal pengurusan jenazah kepada peserta lelaki, diikuti latihan praktikal solat jenazah kepada semua peserta.
Bagi peserta perempuan, latihan pengurusan jenazah dikendalikan oleh dua orang penggapai, iaitu Hajah Rosmawati binti Haji Ismail dan Dayang Noradiana binti Haji Jumat.
Kursus itu juga bertujuan menyelaras kerja-kerja pengurusan jenazah serta mengenal pasti amalan-amalan khurafat berkaitan kematian yang bercanggah dengan ajaran Islam.




