Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Seramai 65 pelajar Darjah 6 dari Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong (JIS) diraikan dalam majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di Auditorium, Pusat Seni sekolah berkenaan, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim yang memulakan majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah.
Majlis turut diserikan dengan bacaan surah-surah pilihan oleh peserta khatam dan bacaan Doa Khatam oleh Awangku Muhd Aneeq Arsyad bin Pengiran Haji Malik Yusri.
Acara diteruskan dengan penyampaian sijil kepada semua peserta oleh tetamu kehormat dan disusuli persembahan Dikir Marhaban sebelum majlis ditutup dengan bacaan Doa Selamat.
Majlis berkenaan diadakan sebagai penghargaan kepada para pelajar yang berjaya menamatkan pembacaan 30 juzuk Al-Quran.
Ia juga bertujuan memupuk kecintaan terhadap kitab suci itu dan menggalakkan pembacaan berterusan sebagai sebahagian daripada amalan hidup beragama.
Majlis ini adalah sebahagian daripada usaha Jabatan Pengajian Islam dalam memperkukuh syiar Islam serta melahirkan generasi muda yang celik Al-Quran di negara ini.