Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Dalam meningkatkan kesedaran mengenai HIV kepada golongan belia, Majlis AIDS Brunei Darussalam (Majlis BDAIDS) telah melaksanakan Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (HAPPY) di Sekolah Menengah Lambak Kiri (SMLK), kelmarin.
Program yang dihadiri oleh kira-kira 65 orang pelajar itu telah diisikan dengan ceramah yang disampaikan oleh Penyelaras Projek HAPPY, Dayang Siti Kailene Jazlan Kashfi dengan aktiviti-aktiviti dikendalikan bersama ahli-ahli pasukan HAPPY.
HAPPY merupakan sebuah projek yang diterajui oleh belia dengan matlamat untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual (STI) kalangan remaja dan belia.
Semasa ceramah berkenaan, Dayang Siti Kailene mengongsikan statistik tempatan terkini STI dan kehamilan remaja dengan mengetengahkan usia serta jantina yang mendominasi statistik itu.
Beliau turut menyatakan angka itu boleh dikurangkan dengan mengamalkan sikap berpantang sebagai sebahagian daripada kaedah untuk mencegah golongan belia daripada terlibat dalam sebagai tabiat berisiko yang boleh membawa kepada jangkitan STI, hamil di luar nikah atau perkahwinan muda.
Program itu merupakan sebuah program interaktif yang menggabungkan audio dan visual serta juga aktiviti interaktif bagi menyampaikan mesej kepada golongan muda di mana mesej-mesej yang disampaikan telah disesuaikan dengan situasi tempatan.
Majlis BDAIDS berharap para pelajar akan dapat membawa pulang mesej-mesej yang disampaikan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran mereka serta untuk dilaksanakan dalam gaya hidup seharian mereka.