Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 20 NOV – Seramai 65 penderma darah tampil menyumbang dalam kempen derma darah anjuran Persatuan Foochow Kuala Belait pada 16 November lalu.
Bertempat di bangunan utama persatuan yang terletak di sudut Jalan Bunga Simpur dan Jalan Bunga Raya, Kuala Belait, kempen tersebut turut dibantu oleh kakitangan Unit Tabung Darah Hospital Suri Seri Begawan yang menjalankan urusan pengambilan darah pada hari berkenaan.
Daripada 77 peserta yang mendaftar, 65 daripadanya berjaya menderma sekurang-kurangnya satu pain darah setiap seorang bagi tujuan kebajikan itu.
Bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan, pihak persatuan turut mengadakan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik untuk dibawa pulang sebagai penghargaan atas sumbangan mereka.


