Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Minggu Lautan Brunei (OWB) 2025 meneruskan siri acara ke arah pemuliharaan dan kelestarian marin dengan bengkel Reef Ball Fabricator yang diadakan hari ini di Jeti Perikanan, Serasa.
Acara itu menghimpunkan lebih 40 orang peserta termasuk belia tempatan, nelayan dan pegawai Jabatan Perikanan bersama-sama dengan seramai 25 orang yang menyertai aktiviti pembuatan bebola karang.
Dianjurkan oleh Poni Divers dengan kerjasama Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, bengkel itu dimulakan dengan pengenalan oleh Pengasas Bersama Poni Foundation, Mohd Tahsin Wong Abdullah. Dalam ucapannya, beliau menjelaskan apa itu bebola karang dan peranannya dalam memulihkan habitat ikan.
Selain itu, Mohd Tahsin juga menekankan kesan jangka panjang bebola terumbu yang boleh bertahan lebih 500 tahun di bawah air, menyediakan kawasan penangkapan ikan yang mampan untuk generasi akan datang.
Para peserta termasuk pelajar dari Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) dan golongan belia dari pelbagai sekolah di seluruh negara, bersama-sama dengan nelayan dari semua daerah di negara ini.
Berangkat sama dalam kalangan peserta di majlis tersebut ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, yang menyertai komuniti ISB dan Rakan Pendidikan.
Turut hadir dalam aktiviti tersebut ialah wakil daripada penaja Armada Properties, Brunei LNG, dan Takaful Brunei.
Sebanyak 10 bebola karang pelbagai saiz telah dihasilkan pada akhir aktiviti. Bebola terumbu ini akan digunakan sebagai sebahagian daripada tukun tiruan pada masa hadapan yang akan memberi manfaat kepada komuniti nelayan. Tidak seperti alat bantu memancing tradisional seperti tayar atau pelepah kelapa, bebola tersebut dibuat daripada konkrit marin yang direka khas, bukan toksik yang mesra karang dan tahan lama. Pengalaman praktikal memberi peluang kepada para peserta untuk belajar cara mengadun, membentuk dan memahami sains di sebalik penciptaan tukun tiruan ini.
Bengkel ini adalah sebahagian daripada program acara OWB yang lebih luas sepanjang bulan Jun, yang merangkumi penanaman karang, forum belia, persidangan kelestarian lautan, dan pembersihan pantai berskala besar sebagai pengisian dalam mengakhiri bulan ini.




