BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Jabatan Penerangan menerusi Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik telah mengadakan Majlis Pembukaan Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) bagi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Sektor Swasta (Infokomunikasi dan Teknologi) Negara Brunei Darussalam yang akan berlangsung selama dua hari bermula 2 Julai, bertempat di Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan.
Program disertai oleh seramai 65 orang peserta dari GLC dan sektor swasta di Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Dayang Saadiatul Nur Aqilah binti Haji Jaman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pembantu Pegawai Luar Penerangan, Haji Mahmud Hafidzie bin Haji Awang Ali Mashod dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Seksyen Komunikasi Strategik, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim.
Dalam ucapannya, Dayang Mufidah antara lain menyentuh bahawa PMB merupakan inisiatif jabatan tersebut dalam memberikan peluang kepada masyarakat untuk menimba ilmu pengetahuan dengan lebih lanjut mengenai usaha-usaha pihak kerajaan dan agensi-agensi berkenaan dalam sama-sama membangun Negara Brunei Darussalam.
Selain itu, beliau turut mengongsikan PMB kali ini memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu peranan masyarakat dalam mencapai Wawasan Negara 2035 dan pembangunan yang mapan, menghargai nilai-nilai adat istiadat dan pengukuhan kesedaran mengenai keselamatan digital.
Beliau juga menyentuh mengenai peranan besar GLC dan sektor swasta dalam mencapai Wawasan 2035 adalah dengan penglibatan sektor ini dalam mencapai pembangunan negara, kepelbagaian ekonomi dan penjanaan pekerjaan yang bermanfaat.
“Teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI) juga telah menjadi trend dalam penggunaan teknologi digital terkini. Kepesatan teknologi digital ini adalah diharapkan dapat membangun landskap transformasi digital dan pembangunan ekonomi negara dengan masyarakat yang lebih inovatif dan kreatif,” ujar Dayang Mufidah.
Selaras dengan tujuan program iaitu untuk menyuntik semangat dan menginspirasi anggota masyarakat dalam usaha-usaha meningkatkan taraf hidup, pengetahuan serta pendedahan kepada aktiviti-aktiviti peningkatan kapasiti dan pengetahuan, program itu telah disusun atur dengan beberapa sesi taklimat dan lawatan ke agensi-agensi yang terpilih.
