BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis 2008 – Seramai 66 orang dari Negara Brunei Darussalam yang terkandas di Bangkok ekoran kepungan bantahan Thailand ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok telah mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) menjelaskan dalam kenyataannya bahawa mereka yang terlibat dengan penyelamatan penumpang yang terkandas itu dibawa pulang menggunakan Lapangan Terbang U-Tapao, Pattaya.
Pesawat A319 digunakan dalam misi itu dengan kerjasama Kerajaan Thailand bagi memastikan penduduk Brunei di negara itu selamat pulang ke tanah air.
Salah seorang penumpang yang selamat mendarat tersebut telah memberitahu Media Permata bahawa beliau terkandas setelah tiba di Bangkok sehari selepas peristiwa pengepungan lapangan terbang berlaku.
Penumpang-penumpang tahu mengenai hal itu melalui berita, katanya dan beliau mula memikirkan cara untuk pulang ke tanah air dengan terus menghubungi RB bagi mengetahui status mutakhir dan langkah yang diambil syarikat itu.
Beliau sekeluarga tinggal di hotel sebelum diarahkan berkumpul bagi pengagihan Pas Menaiki Pesawat Penyelamatan Penumpang yang terkandas dengan kerjasama RB dan Kedutaan Brunei di Thailand.
Beliau menyatakan rasa syukur kerana beliau dan tiga anggota keluarganya selamat tiba di negara ini setelah terpaksa duduk dalam bas selama beberapa jam bagi perjalanan sejauh 150 kilometer dari Bangkok ke Lapangan Terbang U-Tapao.
Beliau berkata walaupun keadaan agak kurang selesa di Lapangan Terbang U-Tapao yang kecil, namun beliau bersyukur kerana beliau dan keluarganya selamat pulang ke tanah air.
Daine Morrison, Karen Moorcroft dan Melisa Dobson yang berasal daripada Australia dan New Zealand berkata pujian harus diberikan pada RB dan Kedutaan Brunei di Bangkok kerana prihatin dan cekap menjalankan langkah keselamatan.
Mereka juga rasa bersyukur dan ber-terima kasih kepada Kerajaan Thailand kerana membiayai perbelanjaan mereka termasuk penginapan dan makanan.
Salah seorang bapa kepada warganegara yang ditemui menjemput anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei hanya menyatakan perasaan terharu untuk berjumpa anaknya yang dua hari terkandas di Bangkok.
Beliau berkata anaknya pergi ke sana atas urusan kerja apabila beliau mendapat panggilan daripada anaknya mengenai status mereka di Bangkok.