Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Majlis Penghargaan Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-jabatan di bawahnya telah diadakan hari ini di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.
Bagi memberkati majlis, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Pemangku Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Awang Mohammad Alihan bin Abusamah.
Seramai 66 pesara bagi tahun 2018 dan 2019 diraikan pada majlis tersebut dan menerima sijil serta cenderahati yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Majlis itu diadakan untuk menghargai bakti dan jasa yang disumbangkan sepanjang mereka berkhidmat dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohamad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Hairul Mohammad Daud bin Haji Abdul Karim; pengarah-pengarah, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan di bawahnya serta pihak berkuasa yang berkenaan.

