Saturday, November 30, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    660 karton rokok berjaya dirampas

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Sebanyak 10 kotak besar dan 16 kotak kecil yang mengandungi berjumlah 660 karton rokok kelmarin berjaya dirampas oleh Pegawai dan Anggota Special Duty (SD) serta anggota peronda Balai Polis Bangar, Daerah Polis Temburong semasa membuat pemantauan jenayah dari kawasan Pekan Bangar sehingga ke ujung jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddin (SHOAS) hala dari Temburong ke BSB. 

    Menurut kenyataan, Kira-kira 4:20 pagi, sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer warna putih cuba ditahan dalam sekatan ‘Stop and Search’ dan dengan tiba-tiba pemandu tersebut tidak mahu berhenti dan telah melanggar dua buah kereta peronda dan sebuah kereta persendirian ahli SD dan memecut melarikan diri. 

    Usaha mengejar kereta tersebut pun berlaku dan menjumpai kereta tersebut ditinggalkan tanpa pemandu di kawasan simpang Mangrove Paradise Resort, Kampung Serdang BSB.

    Hasil pemeriksaan didapati di dalam kereta tersebut ada membawa beberapa kotak yang dipercayai barang tegahan. Kereta telah dibawa ke Balai Polis Bangar untuk tindakan selanjutnya. 

    Kereta dan semua barang-barang tersebut diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi siasatan dan tindakan selanjutnya. 

    Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan sentiasa membuat pemantauan dan risikan serta akan mengambil tindakan pada setiap kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang di negara ini.

    Pihak Polis juga ingin menyarankan kepada orang ramai agar dapat memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

    Gambar serahan PPDB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda