Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan pingat-pingat kehormatan Negara Brunei Darussalam kepada seramai 664 orang penerima sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah berkenan mengurniakan pingat-pingat berkenaan selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada majlis yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman, hari ini.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah.
Pada majlis itu, seramai 32 orang iaitu 21 orang lelaki dan 11 orang perempuan dari Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Biro Mencegah Rasuah, Kementerian Pertahanan dan penerima sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).
Antara yang dikurniakan pingat PJK ialah DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah.
Seramai 556 orang lagi menerima Pingat Indah Kerja Baik (PIKB) yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari Pejabat KDYMM, JPM, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).
Sementara itu, 44 orang dari Kementerian Pertahanan menerima pingat Pahlawan Periwara (PP) dan 32 orang dari Kementerian Pertahanan menerima Pingat Asgar Pahlawan (AP).
Istiadat pengurniaan pingat turut diberkati dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Majlis turut dihadiri oleh menteri-menteri kabinet, ahli-ahli majlis mesyuarat, timbalan-timbalan menteri, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, duta-duta besar, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan ketua-ketua jabatan.