Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Sekolah Sukan telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil kepada seramai 67 orang penuntut di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Mutawakillah Hayatul Bolkiah, Serusop, hari ini.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Penuntut Cemerlang Peperiksaan Awam BC GCE O Level dan IGCSE bagi 2022.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah mantan Pengetua Sekolah Sukan, Kluster 3, di Jabatan Sekolah-sekolah, Matthew Eric Letham yang menyempurnakan penyampaian sijil kepada semua penuntut yang telah menamatkan pengajian di Sekolah Sukan pada 2022.
Turut hadir ialah Ketua Kluster 3 di Jabatan Sekolah-sekolah, Hajah Amal Nuriyah binti Haji Ahmad Kumpoh, dan Pengurus Besar dan Pengerusi Negara, Total Energies, Jerome Saniez selaku penaja dan pemberi sumbangan.
Acara majlis dimulakan dengan perarakan masuk penerima hadiah dan diteruskan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Awang Muhammad Hamizan bin Metali dan terjemahannya dibaca oleh Awang Abdul Wafiq Wafiuddin Rifa’ie bin Haji Roslan, kedua-duanya penuntut Tahun 10.1 Sekolah Sukan.
Majlis diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengetua Sekolah Sukan, Hajah Aisah binti Haji Mohd Salleh selaku pengerusi majlis dan diselajurkan dengan kata alu-aluan oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis juga menyaksikan Jerome Saniez menyampaikan sumbangan khas kepada tiga penuntut cemerlang daripada aliran akademik dan sukan.
Pelajar tersebut ialah Awang Muhammad Hadi Aziman bin Abdul Rahman yang memperoleh lapan O Level, Awang Muhammad Nasrullah Alidon, atlet boling yang memperolehi enam O Level dan Awangku Muhd Azhar Nasrullah bin Pengiran Haji Mohd Yasrizam Ayub, atlet silat yang memperolehi enam O level.