Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    68 pelajar khatam Al-Quran diraikan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Seramai 68 orang murid Darjah VI sesi pagi dan petang yang terdiri daripada 27 orang murid lelaki dan 41 orang murid perempuan telah berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran kelmarin dan diraikan di Majlis Khatam Al-Quran di Dewan Ar-Raudhah, Sekolah Ugama Lambak Jalan Bedil.

    Majlis Khatam dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh Tetamu Khas Majlis, Awang Haji Zuneidy bin Haji Jumat, Pegawai Perundangan Syariah Tingkat Khas, Jabatan Hal Ehwal Syar’iah, Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU).

    Seterusnya, bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam dan diikuti dengan bacaan Takhtim oleh murid-murid perempuan Darjah IV dan V. Manakala Doa Khatam dibacakan oleh Awang Muhammad Ameer Mudzaffar bin Mohammad Ardey Wirda, salah seorang daripada peserta Khatam.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir dan diteruskan dengan penyampaian Sijil Khatam oleh Tetamu Khas Majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Cikgu Awang Haji Idris bin Haji Metussin.

    GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KHEU

    Majlis antara lain bertujuan sebagai menyahut hasrat Kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran, di samping sebagai galakan kepada murid-murid untuk menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai budaya hidup dan amalan harian.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda