Monday, November 18, 2024
32.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    685kg sampah dikutip di Kampong Ayer

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Sebanyak 685 kilogram (kg) sampah telah berjaya dikumpulkan semasa inisiatif H20 Heroes: River Clean Up anjuran Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dengan kerjasama Green Brunei di Kampong Ayer, hari ini.

    Seramai 150 orang mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut, termasuk pengurusan eksekutif BDCB, ketua-ketua eksekutif institusi kewangan, Ketua Kampong Ayer Zon 2, ketua kampung di Mukim Saba, Pemangku Ketua Kampong Ayer Zon 3, serta wakil dari BDCB, institusi kewangan yang mengambil bahagian dan Green Brunei.

    Inisiatif tersebut menandakan projek pertama di bawah Komuniti Industri Kewangan yang bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara BDCB dan institusi kewangan melalui aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

    Pengarah Urusan BDCB, Hajah Rokiah binti Haji Badar dalam ucapan alu-aluannya menggesa industri kewangan untuk merebut peluang memacu Komuniti Industri Kewangan dengan idea dan projek yang inovatif dan berkesan.

    Beliau menekankan kepentingan mewujudkan inisiatif yang bukan sahaja memberikan manfaat kepada sektor kewangan tetapi juga impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar untuk tahun-tahun akan datang dan bagi generasi akan datang.

    Melalui inisiatif tersebut, adalah diharapkan BDCB dan institusi kewangan akan terus memupuk rasa tanggungjawab dan prihatin yang mendalam terhadap alam sekitar serta memainkan peranan penting dalam mencapai masa depan yang mampan.

    Acara itu dianjurkan bersama 13 buah institusi kewangan sebagai rakan kongsi termasuk Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Bank Baiduri sebagai rakan kongsi platinum; Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Standard Chartered Brunei, Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd, Audley Insurance Company San Bhd dan AlA Singapore Private Limited (Cawangan Brunei) sebagai rakan kongsi emas; dan RHB Bank Berhad, Maybank Banking Berhad, Bank of China (Hongkong) Limited, State Street (Brunei) Sdn Bhd, United Overseas Bank Limited, dan UOB Asset Management (B) Sdn Bhd sebagai rakan kongsi gangsa.

    Diadakan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, acara itu bertujuan untuk menggalakkan industri kewangan menyumbang kepada agenda kelestarian negara melalui inisiatif kemampanan korporat, meningkatkan kesedaran tentang isu alam sekitar yang dihadapi di negara ini, dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Hajah Rokiah semasa menyampaikan ucapan alu-aluan. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    Para peserta mengutip sampah semasa kempen berkenaan. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda