Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir 2,000 kanak-kanak terbunuh, cedera akibat perang

    UKRAINE, 14 MEI – Hampir 2,000 kanak-kanak di Ukraine terbunuh atau cedera sejak peningkatan perang lebih dua tahun lepas, kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) hari ini.

    Pejabat Serantau UNICEF bagi Eropah dan Asia Tengah serta Penyelaras Khas Tindak Balas Pelarian dan Migran di Eropah, Regina De Dominicis berkata purata dua korban kanak-kanak dilaporkan setiap hari di tengah-tengah perang yang berterusan dan semakin meningkat.

    “Kira-kira 1,993 kanak-kanak di Ukraine telah terbunuh atau cedera. Ini merupakan angka yang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat mengesahkan. Kami tahu jumlah sebenar kemungkinan jauh lebih tinggi.

    “UNICEF terus menggesa gencatan senjata segera di Ukraine dan semua kanak-kanak dilindungi daripada bahaya. Ini termasuk menamatkan penggunaan senjata letupan yang kejam di kawasan berpenduduk dan serangan ke atas kemudahan awam dan infrastruktur yang membahayakan kanak-kanak.

    “Kanak-kanak Ukraine amat memerlukan keselamatan, kestabilan, akses kepada pembelajaran selamat, perkhidmatan perlindungan kanak-kanak dan sokongan psikososial.

    Gambar Canva

    Lebih daripada segala-galanya, kanak-kanak Ukraine memerlukan keamanan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sementara itu, De Dominicis berkata serangan di Ukraine turut menjejaskan kesihatan mental dan kesejahteraan kanak-kanak.

    “Separuh daripada remaja melaporkan mengalami masalah tidur dan satu daripada lima mengalami fikiran yang mengganggu dan kilas balik.

    “Seperti yang kita lihat dalam semua peperangan, keputusan dan tindakan melulu orang dewasa telah meragut nyawa, keselamatan dan masa depan kanak-kanak,” katanya.

    Sementara itu, De Dominicis berkata UNICEF sedang berusaha di seluruh Ukraine untuk memulihkan sekolah dan tempat perlindungan serta menyediakan kit pembelajaran di rumah dan sokongan pembelajaran dalam talian kepada kanak-kanak.

    Beliau berkata pada tahun lepas sahaja UNICEF telah menawarkan kepada 1.3 juta kanak-kanak dengan peluang pembelajaran formal dan tidak formal serta 2.5 juta kanak-kanak dan penjaga dengan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda