69 kes belum diketahui sumber jangkitan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Negara Brunei Darussalam hari ini mencatatkan sejumlah 173 kes baharu jangkitan koronavirus yang menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 seramai 11,220 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar turut mengongsikan sebanyak 83 tambahan kes baharu kepada 13 kluster aktif sedia ada hari ini yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

“Sementara itu, dua kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 19 kes dari kluster kediaman di mana salah satu daripadanya ialah Kluster HHY Construction yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelas Yang Berhormat Dato semasa sidang media, hari ini.

Menurutnya lagi, lima kluster ditamatkan setelah tidak ada kes dikesan dalam kluster tersebut selama 28 hari iaitu Kluster Champion 7 – Platform, Kluster 3340, Kluster 3395, Kluster 3733 dan Kluster 4944, menjadikan jumlah kluster yang aktif kepada 166 kluster.

Selain itu, beliau juga mengongsikan dua kes import tiba dari Manila dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI684 pada 13 Oktober 2021.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Dalam pada itu, terdapat 69 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Sebanyak 179 kes telah disahkan sembuh hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di negara ini kepada 8,421 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,721 kes,” kata Yang Berhormat Dato.

Dalam kalangan kes yang dalam rawatan sekarang, beliau menjelaskan enam kes dalam kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif di mana kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 21 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambahnya.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan, ketika ini terdapat 1,630 kes positif sedang ditempatkan di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara yang mana 43.6 peratus daripadanya adalah warga tempatan dan 56.4 peratus adalah warga asing.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 6,254 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 451,179 ujian.