Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Seramai 60 murid yang berjaya menamatkan pembelajaran sesi 2018 dan sembilan murid KG 2, Sekolah Taman Didikan Anak-anak Polis Diraja Brunei (TDAAPDB) telah diraikan pada majlis penyampaian sijil dan hadiah murid terbaik di Dewan Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Isteri Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) , Datin Hajah Kamariah binti Haji Abdul Hamid.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai PDB dan ibu bapa serta penjaga murid-murid sekolah berkenaan.
Majlis yang merupakan aktiviti tahunan yang diadakan pada setiap tahun itu bertujuan bagi memberikan penghargaan dan apresiasi kepada murid-murid yang cemerlang dari segi akademik dan aktiviti luar serta kepada murid-murid yang telah menamatkan pembelajaran sesi tahunan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan beberapa persembahan menarik daripada murid-murid serta ibu bapa yang hadir pada majlis tersebut.
