Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Seramai 69 orang pengadil bola sepak dan futsal termasuk enam orang dari kalangan pengadil bertaraf Persekutuan Persatuan BolaSepak Antarabangsa (FIFA) menerima sijil penghargaan dari Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) dalam Majlis Penyampaian Sijl Penghargaan Pengadil di NFABD House, Berakas di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan ucapan di awal majlis hari ini adalah Pemangku Setiausaha Agung NFABD, Roslin Suhailee yang antara mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada para peserta dan berharap bahawa pengiktirafan yang diberikan itu akan mendorong lagi para pengadil untuk mempertingkatkan komitmen masing-masing dalam program bola sepak dan meningkatkan lagi mutu pengadilan ke tahap yang lebih tinggi.
Menurut Roslin, beliau yakin dengan perkembangan pengadilan bola sepak dan futsal sekali gus percaya pengadil-pengadil di negara ini berpotensi dan berpeluang untuk dinaik taraf sehingga peringkat tertinggi dan setanding dengan pengadil-pengadil antarabangsa.
Tambahnya, NFABD akan sentiasa menyediakan program perkembangan profesional untuk memastikan pengetahuan dalam bidang pengadilan sentiasa relevan dengan perkembangan bola sepak dan futsal.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengadil-pengadil bola sepak dan futsal di atas komtimen yang ditunjukkan pada 2017 sekali gus membantu NFABD menjayakan program-program bola sepak dan futsal peringkat nasional mahupun peringkat antarabangsa.
Dalam bengkel ini, para pengadil diberikan ujian bertulis dan juga didedahkan dengan ujian kecergasan yang disediakan oleh ahli Jawatankuasa Pengadil NFABD dan FIFA Fitness Instructor lalu dinilai dari aspek pencapaian masing-masing oleh jawatankuasa yang dilantik.
Turut hadir ke majlis itu adalah Ketua Jabatan Pengadilan, Haji Hamidon bin Haji Mohd Zin yang juga merupakan Pengerusi Majlis, ahli-ahli ExCo, pengarah-pengarah di Sekretariat NFABD dan para penerima sijil yang diraikan.