Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    69 peserta pelbagai negara sertai bengkel dakwah digital

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Seramai 69 peserta dari empat negara anggota MABIMS menyertai Bengkel E to Soul Belia Islam MABIMS 1.0 dan 2.0 yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil di Dewan Mutiara, The Radisson Hotel, Bandar Seri Begawan kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Awang Misle bin Haji Abd Karim, selaku wakil kepada Pemangku Setiausaha Tetap KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan kementerian berkenaan.

    Bengkel E to Soul Belia Islam MABIMS merupakan inisiatif kerjasama serantau bagi memperkasa keterlibatan belia Islam dalam bidang dakwah melalui pendekatan komunikasi dan teknologi semasa.

    Bengkel E to Soul Belia Islam MABIMS 1.0 memberi tumpuan kepada aspek Retorik Dakwah, Kemahiran Komunikasi, dan Penciptaan Kandungan (Content Creating), manakala Bengkel 2.0 pula memfokuskan kepada Dakwah Kreatif menggunakan aplikasi Canva serta pengenalan kepada teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam penciptaan kandungan dakwah.

    Pendekatan pemisahan modul ini membolehkan para peserta mengikuti pengisian bengkel secara lebih tersusun dan berfokus mengikut tahap masing-masing.

    Kedua-dua bengkel berkenaan diakhiri dengan sesi podcast eksklusif bertajuk Evolusi Dakwah Milenial: Cabaran dan Peluang yang dihoskan oleh Ketua Unit Sekolah Ugama, Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Haji Jaya bin Haji Metussin.

    Sesi podcast berkenaan menampilkan dua ahli panel dari Pusat Dakwah Islamiah, Pegawai Ugama, Awang Mohammad Nasyith bin Superi, dan Pegawai Perkembangan Ugama, Haji Muhammad Najib bin Haji Awang yang membincangkan secara mendalam mengenai potensi dakwah digital, peranan pendakwah muda, serta cabaran penyampaian mesej Islam di era maya masa kini.

    Daripada jumlah keseluruhan peserta, 35 peserta Bengkel 1.0 terdiri daripada 19 peserta dari Brunei, lima dari Indonesia, lima dari Malaysia dan enam dari Singapura. Sementara 34 peserta Bengkel 2.0 merangkumi 18 peserta dari Brunei, 5 dari Indonesia, 5 dari Malaysia dan 6 dari Singapura.

    Kehadiran peserta dari negara-negara anggota MABIMS mencerminkan kesungguhan dan minat belia serantau dalam memperkukuh penyampaian dakwah yang lebih kreatif, segar, dan relevan.

    Diharapkan penganjuran bengkel berkenaan akan menjadi platform pengukuhan jaringan belia dakwah serantau serta menjadi batu loncatan ke arah usaha berterusan dalam menyampaikan mesej Islam yang rahmah, dinamik dan inklusif, sejajar dengan cabaran dan realiti semasa.

    Atas & Bawah: Antara penerima sijil bengkel berkenaan.

    Gambar ramai peserta bengkel bersama tetamu kehormat. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda