CEBU, 1 OKT – Sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam gempa bumi kuat yang melanda Filipina, ketika pasukan penyelamat menggunakan jentolak dan anjing pengesan untuk mencari mangsa yang terselamat di rumah-rumah runtuh serta bangunan lain yang rosak di wilayah tengah negara itu, kelmarin.
Angka korban dijangka meningkat akibat gempa bermagnitud 6.9 yang berlaku sekitar jam 10 malam, kelmarin, dan menyebabkan sejumlah penduduk terperangkap di bandar Bogo yang paling teruk terjejas serta beberapa pekan luar bandar di wilayah Cebu.
Hujan yang turun secara berselerak serta jambatan dan jalan yang rosak menghalang usaha menyelamat nyawa, menurut pihak berkuasa.
“Kami masih berada dalam ‘golden hour’ operasi mencari dan menyelamat,” kata Timbalan Pentadbir Pejabat Pertahanan Awam, Bernardo Rafaelito Alejandro IV dalam satu sidang media. “Masih banyak laporan mengenai mangsa yang tertimbus atau terkena runtuhan.”
Pusat gempa yang dicetuskan oleh pergerakan pada garisan sesar dasar laut pada kedalaman cetek berbahaya 5 kilometer itu terletak kira-kira 19 kilometer ke timur laut Bogo, sebuah bandar pesisir yang mempunyai kira-kira 90,000 penduduk di wilayah Cebu, di mana hampir separuh daripada jumlah korban dilaporkan, menurut pihak berkuasa.
Kerajaan Filipina sedang mempertimbangkan sama ada akan mendapatkan bantuan daripada kerajaan asing berdasarkan penilaian kerosakan pantas yang sedang dijalankan, kata Alejandro.
Amerika Syarikat (AS), Jepun, Australia dan Kesatuan Eropah menyampaikan ucapan takziah.
“Kami bersedia menyokong usaha tindak balas kerajaan Filipina sebagai rakan, sekutu dan sahabat,” kata Duta Besar AS ke Filipina, MaryKay Carlson dalam hantaran di platform media sosial X.
Sementara itu, para pekerja berusaha menghantar sebuah jentolak untuk mempercepatkan operasi mencari dan menyelamat di kelompok penempatan setinggan sebuah kampung pergunungan yang terjejas akibat tanah runtuh dan dihujani bongkah batu, kata pegawai pengurusan bencana bandar Bogo, Rex Ygot kepada AP, pagi hari ini.
“Agak sukar untuk bergerak di kawasan itu kerana terdapat banyak bahaya,” kata seorang lagi pegawai pengurusan bencana, Glenn Ursal, yang menambah bahawa beberapa mangsa terselamat telah dibawa ke hospital dari kampung pergunungan tersebut. – AP


