Thursday, April 24, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    7.3 juta rakyat Kanada mengundi dalam pilihan raya persekutuan

    TRENTON, 23 APRIL – Suruhanjaya Pilihan Raya Kanada kelmarin melaporkan seramai
    7.3 juta pengundi telah membuat undian dalam tempoh empat hari pengundian awal semasa cuti hujung minggu Easter, lapor agensi Anadolu.

    “Ini merupakan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 5.8 juta pengundi yang mengundi awal pada pilihan raya umum 2021,” menurut kenyataan suruhanjaya itu di laman webnya.

    Walaupun laporan itu tidak menjelaskan punca peningkatan kadar keluar mengundi, matlamat Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengilhak Kanada serta dasar tarif yang dikhuatiri boleh menjejaskan ekonomi telah menjadi antara isu utama dalam kempen pilihan raya yang berlangsung selama 37 hari.

    Kempen tersebut tertumpu kepada persoalan mengenai parti mana, sama ada parti pemerintah Liberal, pembangkang utama Parti Konservatif Progresif atau Parti Demokratik Baharu (NDP)  yang paling berkeupayaan menangani pendekatan Trump yang tidak menentu.

    Hari pengundian ditetapkan pada 28 April dan dengan tempoh kurang seminggu, pemimpin Liberal, Mark Carney; ketua Konservatif, Pierre Poilievre; dan pemimpin NDP, Jagmeet Singh kini giat berkempen di seluruh negara.

    Meskipun Parti Konservatif pimpinan Poilievre mendahului dalam tinjauan pendapat selama beberapa bulan, senario politik berubah selepas bekas Perdana Menteri Justin Trudeau, yang semakin tidak popular, mengumumkan pada Januari beliau akan berundur.

    Dalam perkembangan mengejut, tinjauan terbaharu yang dikeluarkan kelmarin, menunjukkan Carney dan parti Liberal kini mendahului Konservatif dengan perbezaan enam mata.

    Masing-masing memperoleh 42.6 peratus dan 37.1 peratus, manakala NDP ketinggalan dengan 10.4 peratus.

    Jumlah penduduk Kanada ketika ini dianggarkan melebihi 41 juta orang. – Bernama

    Papan tanda undi di Kanada, pada 22 April. –Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda