Sunday, April 27, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    7 adab makan

    PERNAH tidak ketika anda menjamu selera, tetapi makanan itu seolah-olah tidak mencukupi? Rasa masih belum puas menikmati hidangan. Kenapa ya?

    Salah satu yang dikatakan oleh para ulama, mungkin kita tidak menjaga adab-adab makan dengan sebaiknya.

    Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha bercerita:

    “Rasulullah pada suatu ketika hendak makan bersama enam orang sahabatnya. Lalu datanglah seorang Arab, dia kemudiannya makan makanan itu dengan dua kali suap sahaja. Baginda Salallahu Alaihi Wassalam lalu bersabda: ‘Sekiranya orang ini membawa Bismillah, tentu makanan ini cukup untuk engkau semua (kerana adanya keberkatan dalam makanan itu)’.” (Riwayat Al-Tirmizi)

    1-Mulakan dengan Bismillah

    Sekiranya kita terlupa, segeralah mengucapkan: “Bismillahi awwalahu wa akhirahu”, yang bererti “Bismillah pada awal dan akhirnya”.

    2-Makan dengan tangan kanan

    Jika kita kidal, berusahalah juga makan dengan tangan kanan. Berlatih perlahan-lahan. Ini kerana Nabi Salallahu Alaihi Wasallam mencela orang yang makan dengan tangan kiri.

    3-Ambil makanan yang lebih dekat

    Adab ini mengajar kita untuk sabar dan lebih beradab tatkala kita makan beramai-ramai. Ambil lauk yang lebih dekat dengan kita dahulu, kemudian barulah meminta tolong orang yang berdekatan untuk menghulurkan lauk yang jauh kepada kita. Mulakan makan dari tepi piring dahulu.

    Makanlah dengan menjaga adab-adab makan dengan sebaiknya.
    Makanlah dengan menjaga adab-adab makan dengan sebaiknya.

    4-Tidak mencela makanan

    Apabila makanan dihidangkan, mungkin ada sesetengahnya yang kita tidak gemari. Namun jangan pula mencelanya, “Tak sedap la kuih ni”, “Rasa nak termuntah tengok makanan ini” dan seumpamanya.

    Tetapi contohilah cara Rasulullah. Apabila Rasulullah tidak menyukai sesuatu makanan, Baginda akan tinggalkan (tanpa mengucapkan celaan padanya). – (Muttafaq ‘Alaih)

    5-Tidak makan sambil bersandar

    Makan sambil bersandar merupakan gaya orang sombong, selain ia tidak bagus untuk kesihatan. Baginda bersabda: “Saya tidak akan makan sambil bersandar.” (Riwayat Al-Bukhari)

    6-Menjilat jari

    Ini merupakan sunnah Rasulullah. Sabdanya:

    “Sesungguhnya kamu semua tidak tahu pada makanan yang mana terletaknya keberkatan.” (Riwayat Muslim)

    7-Sudahi dengan lafaz Alhamdulillah

    Makanan merupakan pemberian rezeki daripada Allah. Justeru, tatkala selesai menjamu selera, ucaplah Alhamdulillah tanda syukur kita kepada-Nya. Sekiranya makanan tersebut enak rasanya, maka sunnah memujinya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda