Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Seramai tujuh orang pelari veteran Negara Brunei Darussalam daripada kumpulan Tutong Runners telah berjaya menamatkan larian dalam acara Maraton Antarabangsa Bintulu 2023 di Sarawak, Malaysia yang diadakan kelmarin.
Menurut Dayang Husna binti Abdullah, 55 tahun, ini merupakan kali ketiga dia menyertai maraton penuh sejauh 42km. Acara terdahulu yang pernah disertainya ialah Maraton Antarabangsa Miri 2023 dan Maraton Antarabangsa Borneo 2023.
Acara yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Bintulu itu bermula pada pukul 8 pagi dan para peserta melalui beberapa laluan mengikut petunjuk yang sudah disediakan di sekitar bandar Bintulu.
Menurut Dayang Husna lagi, acara tersebut memang sangat mencabar tambahan lagi kebanyakan peserta terdiri daripada peserta dari luar negara dan yang berpengalaman dalam acara larian sebegitu.
Namun, hal itu tidak mematahkan semangatnya kerana kumpulannya telah menjalani program latihan intensif selama seminggu sebelum menyertai acara tersebut.
“Walaupun usia saya sudah semakin lanjut, selagi masih ada semangat dan badan yang sihat, saya akan terus merebut peluang dengan menyertai acara-acara di dalam dan luar negara,” tambahnya.
