Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Tujuh orang belia tampil ke hadapan bagi menyahut seruan untuk berkecimpung dalam bidang pertanian yang merupakan kumpulan ketiga peserta Program AgroBIZ Shell LiveWIRE Brunei dan akan menjalani latihan pertanian dan perniagaan yang ekstensif.
Sehubungan itu, Majlis Penandatanganan Surat Perjanjian bagi Pengambilan ke-3 Pelajar Projek AgroBIZ telah diadakan di IBTE Kampus Agroteknologi, Wasan, hari ini.
Hadir menyaksikan penandatangan surat perjanjian berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli; Pengurus In-Country Value Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) yang juga Pengerusi Shell LiveWIRE Brunei, Hajah Rosita binti Haji Hassan dan Pengarah Program Shell LiveWIRE Brunei, Haji Abdul Yusrin bin DSLJ Haji Mohd Salleh.
Tujuh peserta yang menandatangani surat perjanjian berkenaan ialah Dayang Saidatul Nazura binti Ahmad, Awang Norhafizan Daniel bin Zulkefli, Dayang Nur Sabfiqah binti Mohd Sabree, Dayang Rasyiqah Basirah binti Haji Roslaili, Dayang Siti Nur Khalisah binti Haji Sufri, Dayang Nurizzatul Rashidah binti Mohd Khairul Arifin dan Awang Mohamad Wafiq Asymawi bin Mohamad Asheneol Ashari.
Peserta yang mengambil bahagian dalam projek AgroBIZ mengusahakan ladang padi di IBTE Kampus Agroteknologi, menggunakan varieti padi hasil tinggi dan mesin moden untuk memperbaiki penghasilan dan menjadikan pengeluaran lebih efisien.

Mereka akan berlatih bagi dua kitaran iaitu bermula Ogos 2021 hingga Oktober 2022.
Sehingga kini, seramai 23 orang pelajar telah mengikuti program itu dan 10 orang telah menamatkan program itu sejak ia dimulakan pada 2019.
Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Dayang Nur Sabfiqah menyatakan harapan agar penyertaannya dan rakan-rakan dalam projek itu dapat menjadi inspirasi kepada golongan belia lain untuk menyahut seruan dan cabaran berkecimpung dalam bidang pertanian.
Beliau mengakui bahawa bidang berkenaan merupakan satu bidang yang mencabar tetapi ia juga merupakan bidang yang amat diminatinya dari kecil lagi.
Beliau juga berharap ilmu pengetahuan yang diperoleh sepanjang projek berkenaan akan dimanfaatkan bagi masa hadapan.
Beliau turut menyatakan cita-cita untuk memiliki perusahaannya sendiri pada masa hadapan dan melalui penyertaan dalam projek itu, ia merupakan peluang yang amat baik untuk memperoleh ilmu pengetahuan serta tunjuk ajar dalam bidang pertanian.
Projek AgroBIZ Shell LiveWIRE Brunei bermatlamat untuk melahirkan usahawan pertanian yang terlatih dan berkemahiran iaitu mereka yang mempunyai kemahiran pertanian dan perniagaan, untuk menjadi peladang komersial yang berjaya.