Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    7 belia tempatan berlepas ke Seoul

    Oleh Ak Zaki Kasharan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Tujuh orang belia telah berlepas ke Seoul, Korea bagi mengikuti The 19th ASEAN-Korea Future-Oriented Youth Exchange Programme: ASEAN-Korea Youth Square yang akan berlangsung selama tujuh hari bermula esok hingga 17 Januari.

    Hadir sama di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan petang tadi ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Zafri bin Haji Mohamed.

    Perwakilan belia yang mewakili negara ke program tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar kolej dan mahasiswa serta mahasiswi dari beberapa buah institusi pengajian tinggi di negara ini dengan diketuai oleh Awang Muhammad Wafiy bin Haji Norhalim yang merupakan mahasiswa tahun akhir di Universiti Brunei Darussalam.

    Semasa ditemui Media Permata, Awang Muhammad Wafiy sempat berkongsi perasaan teruja kerana terpilih bagi mewakili negara ke program tersebut dan akan berusaha sebaik mungkin bersama ahli rombongan lainnya bagi memperkenalkan Brunei di peringkat antarabangsa.

    Selain itu, beliau juga mengatakan bahawa mereka mengambil masa lebih kurang sebulan untuk mempersiapkan diri bagi mewakili negara ke program pertukaran tersebut dan berharap mereka dapat menimba sebanyak yang mungkin ilmu pengetahuan ketika berada di Korea nanti untuk diaplikasikan apabila kembali ke tanah air nanti.

    Haji Zafri dan rombongan belia bergambar ramai sebelum berlepas ke Seoul di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

    Program berkenaan menjemput para belia dari negara-negara ASEAN dan Republik Korea untuk mempersembahkan kebudayaan dan sejarah mereka melalui pertukaran budaya.

    Para peserta turut diberikan peluang untuk meluahkan ilham dan bermotivasi untuk merangka masa depan demi membina asas yang kukuh bagi komuniti Pan-Asia di masyarakat global.

    Sepanjang program tujuh hari berkenaan, para belia akan mengikuti sambutan bagi Tahun Kebudayaan ASEAN-Korea, Festival Makanan Belia ASEAN-Korea, Malam Belia ASEAN-Korea, Festival Publisiti ASEAN-Korea, Latihan Kebudayaan Kendiri Seoul, mengalami sendiri budaya dan tradisi Korea, mengikuti aktiviti sukan musim sejuk dan membuat lawatan ke tapak Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018.

    Selain daripada pertukaran budaya, program tersebut juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada belia terhadap kepelbagaian aktiviti, di samping memberi inspirasi kepada satu sama lain dan menjalin semangat kerjasama untuk masa depan yang lebih baik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda