7 didakwa adakan perhimpunan ramai

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Lima orang lelaki dan dua orang wanita telah didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas kesalahan di bawah Seksyen 62A (2) Akta Penyakit Berjangkit, Bab 204 kerana mengingkari arahan Kementerian Kesihatan bertarikh 9 Ogos 2021 mengenai larangan perhimpunan ramai yang dikeluarkan mengikut Seksyen 62A (1).

Empat daripada tujuh tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi sementara selebihnya mempertikaikannya.

Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman memerintahkan Wong Siong Hieng membayar denda sebanyak $6,500 atau penjara sebulan jika gagal membayar.

Manakala itu, Lam Kaw Chay, Lim Yong Hang dan Lim Su Na masing-masing diperintahkan untuk membayar denda $5,500 atau penjara selama sebulan.

Ketika menjatuhkan hukuman, mahkamah membezakan antara tertuduh dalam kes tersebut, dengan pemilik rumah yang telah mengadakan perhimpunan ramai mendapat hukuman lebih tinggi daripada mereka yang menyertai perhimpunan ramai sebagai tetamu.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Rozaimah Abdul Rahman memberitahu mahkamah bahawa pada pukul 9:35 malam, 18 September lalu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menerima aduan melalui talian 993 bahawa terdapat perhimpunan ramai diadakan di sebuah rumah yang terletak di Kampung Mulaut.

Setelah menerima aduan itu, polis pergi ke kawasan itu untuk melakukan penyiasatan dan mendapati bahawa terdapat perhimpunan ramai di rumah Wong, yang melibatkan isi rumah dari rumah yang berlainan, untuk meraikan ulang tahunnya yang ke-50.

Wong mengakui bahawa dia telah menyediakan makanan dan minuman, dan bermain muzik untuk menghiburkan tetamunya.

Sebaliknya, Lim Su Na tidak mengetahui tentang perayaan ulang tahun, tetapi telah pergi ke rumah Wong pada malam itu untuk menukar sepasang seluar yang ditempahnya daripada isteri Wong.

Namun, setelah ditawarkan oleh isteri Wong, Lim Su Na menyertai dalam perayaan ulang tahun tersebut.

Siasatan selanjutnya mendapati gambar-gambar perhimpunan ramai tersebut dalam telefon bimbit Wong, memperlihatkan orang-orang di rumah itu tidak menggunakan pelitup muka dan tidak mengendahkan penjarakan sosial.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Rozaimah mengemukakan bahawa perhimpunan itu adalah pelanggaran besar terhadap arahan Kementerian Kesihatan mengenai larangan mengadakan perhimpunan ramai dan ia tidak termasuk dalam pengecualian perhimpunan ramai yang dinyatakan dalam arahan Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Mahkamah bersetuju dengan timbalan pendakwa raya bahawa pelanggaran yang dilakukan memerlukan hukuman berat, untuk mengekang perhimpunan sama diadakan.

Sementara itu, Liew Yun Kun, Phyllis Phang Pei Phin dan Tang Chion Siong menafikan tuduhan terhadap mereka dan telah dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

Mahkamah menetapkan tarikh 13 Oktober bagi menetapkan tarikh perbicaraan ketiga-tiga mereka.