Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Tujuh orang telah ditahan kerana memiliki barang tegahan seperti rokok dan pelbagai jenis ubat terlarang dalam beberapa operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, di tiga daerah, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang diterima, operasi telah dilakukan di kawasan Kampung Rataie, Daerah Temburong; Kampung Katok; Kampung Tungku dan perumahan Rimba, Daerah Brunei dan Muara dan Kuala Belait, Daerah Belait, baru-baru ini.
Operasi pertama yang dijalankan pada 9 Mei yang lalu di kawasan gerai penjualan makanan di Kampung Rataie, Daerah Temburong, JKED telah berjaya menahan seorang wanita warganegara Indonesia, 32, yang didapati terlibat dalam kegiatan penjualan rokok dan telah berjaya merampas sebanyak 14 peket rokok pelbagai jenis.
Operasi kedua yang dilaksanakan pada hari yang sama, telah berjaya menahan dua orang lelaki warganegara Indonesia berumur 27 dan 30 tahun di sebuah rumah pekerja di kawasan Kampung Katok. Hasil pemeriksaan tersebut telah merampas dua katon, empat peket dan 26 batang rokok.
Sementara itu, operasi ketiga pula dijalankan pada 10 Mei di kawasan Kuala Belait.

JKED telah menahan dua orang lelaki warganegara Malaysia berumur 57 dan 63 tahun dan berjaya merampas sebanyak 18 batang rokok serta wang tunai berjumlah $132,558 yang dipercayai hasil dari penjualan barang-barang tegahan kastam.
Manakala operasi sepadu dijalankan pada hari yang sama bersama dengan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan, yang mana sebuah kenderaan telah ditahan dan diperiksa di kawasan premis perniagaan, Kampung Tungku dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun yang terlibat dalam kegiatan penjualan pelbagai jenis ubat-ubatan.
Operasi seterusnya adalah pemeriksaan lanjut yang telah dibuat ke atas sebuah rumah di kawasan Perumahan Rimba, Gadong, telah berjaya menahan seorang penduduk tetap berumur 29 tahun dan merampas sebanyak 15 kotak, tiga peket dan 79 botol kecil pelbagai jenis ubat-ubatan yang terlarang.
Kesemua barangan tegahan telah dirampas dan individu-individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang untuk siasatan lanjut.
JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED.
Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsikan maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau aktiviti yang menyalahi perundangan kastam dengan menghubungi JKED di talian utama JKED 8714422 atau 8721422, atau menerusi pejabat kastam yang berdekatan.
Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.