TOKYO, 10 MAC – Syarikat 7-Eleven milik Jepun berkata hari ini ia telah bersetuju untuk bersama-sama meneroka penjualan kedai dengan pesaing Kanada untuk menangani kebimbangan antipersaingan sebelum potensi penggabungan.
Kenyataan itu keluar hanya beberapa hari selepas Seven & i yang selama dua dekad memiliki sepenuhnya 7-Eleven, jenama kedai serbaneka terbesar di dunia mengumumkan langkah termasuk pembelian balik saham yang besar untuk menangkis pengambilalihan daripada firma Kanada, Alimentation Couche-Tard (ACT) Kanada.
Seven & i pada tahun lepas menolak tawaran pembelian awal ACT bernilai hampir AS$40 bilion, dengan mengatakan ia telah mengurangkan nilai perniagaannya dan boleh menghadapi sekatan kawal selia.
Ia akan menjadi pengambilalihan asing terbesar sebuah firma Jepun menggabungkan 7-Eleven, Circle K dan francais lain untuk mewujudkan gergasi kedai serbaneka global.
Media Jepun melaporkan minggu lalu bahawa jawatankuasa khas yang meneliti tawaran oleh ACT berjumlah kira-kira AS$47 bilion juga telah memutuskan untuk menolaknya.
Namun Seven & i berkata penggabungan dengan ACT masih terbuka untuk rundingan, dan hari ini memberikan butiran tentang bagaimana mereka bekerjasama.
Kedua-dua syarikat akan ‘merangka kebolehlaksanaan proses pelupusan saham’ dengan membincangkan ‘kumpulan kedai yang akan dijual dan mengenal pasti bakal pembeli,’ menurut kenyataan Seven & i. – AFP
