Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    7-Eleven di Indonesia ditutup mulai esok

    JAKARTA, 29 Jun – Indonesia kini tidak lagi mempunyai kedai runcit franchais 24 jam 7-Eleven apabila kesemua kedai serba-neka itu akan ditutup mulai esok.

    Penutupan kesemua 141 buah kedai itu diumumkan oleh syarikat pemilik rangkaian 7-Eleven Indonesia, PT Modern International dalam satu kenyatannya kepada Bursa Efek Indonesia baru-baru ini.

    Media-media tempatan memetik Direktur PT Modern Internasional, Chandra Wijaya, sebagai berkata pemberhentian operasi kesemua kedai 7-Eleven itu adalah disebabkan masalah keterbatasan sumber dan urusan jual-beli saham perniagaan.

    PT Modern International sebelum ini dilaporkan telah bersetuju menjual perniagaan rangkaian 7-Eleven Indonesia kepada PT Charoen Pokphand Restu Indonesia tetapi penjualan saham dan aset itu dibatalkan baru-baru ini setelah kedua-dua syarikat gagal mencapai kata sepakat. Sehingga September 2016, terdapat 175 kedai 7-Eleven di Indonesia yang hanya beroperasi di Jakarta dan pada akhir tahun lepas lebih 20 kedai itu telah ditutup secara berperingkat atas alasan tidak menguntungkan.

    Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan kedai 7-Eleven telahpun menutup operasi mereka sejak minggu lepas lagi dengan meletakkan notis mengenai pemberhentian operasi.

    Francais rangkaian 7-Eleven mula memasuki Indonesia pada 2008 dan dikelolakan oleh PT Modern Sevel Indonesia, anak syarikat PT Modern International. Menurut laporan kewangan suku pertama 2017 PT Modern Internasional, hasil penjualan daripada 7-Eleven mengalami penurunan sebanyak 37.17 peratus daripada Rp220,66 juta (Rp1 juta lebih kurang RM300) kepada Rp138,62 juta.

    Sementara itu Menteri Perdagangan Indonesia Enggartiasto Lukita menyangkal dakwaan bahawa penutupan 7-Eleven itu menunjukkan kelembapan sektor peruncitan di Indonesia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda