Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    7 Filem Jepun bakal ditayang

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Yayasan Jepun dengan kerjasama Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam akan mengadakan Festival Filem Jepun buat pertama kalinya di negara ini pada 21 hingga 28 Februari di The Arena Cineplex, Qlap Mall.

    Menurut kenyataan kedutaan itu di sini, sebanyak tujuh buah filem pelbagai genre akan ditayangkan termasuk drama, animasi, adapatasi dari manga dan misteri. Antara filem-filem yang akan ditayangkan ialah Chihayafuru Bahagian satu dan Bahagian dua yang diarahkan oleh Koizumi Nori, Her Love Boils Bath Water (Nakano Ryota), Rudolf the Black Cat (Yuyama Kunihiko dan Sakakibara Motonori), ReLIFE (Furusawa Takeshi), Honnouji Hotel (Suzuki Masayuki) dan The Mohican Comes Home (Okita Shuichi).

    Festival Filem Jepun merupakan platform yang digunakan untuk menarik minat para penonton di negara-negara ASEAN termasuk Brunei Darussalam terhadap filem-filem Jepun. Ia juga bertujuan untuk memberikan peluang kepada orang ramai untuk berkumpul sekali gus membina landasan antara pasaran filem Asia-Pasifik dan industri filem Jepun.

    Menurut kenyataan itu lagi, filem-filem yang bakal ditayangkan nanti sudah pastinya akan memberikan keseronokan kepada penonton di negara ini. Kesemua filem tersebut akan ditayangkan dalam Bahasa Jepun dengan sari kata Bahasa Inggeris. Tayangan akan bermula pada jam 7:30 malam dan kemasukannya adalah percuma untuk orang awam bermula 22 Februari dan tiket boleh diambil pada jam 5 petang hingga 6:30 malam di pawagam berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda