KUCHING, 30 Jun – Berbaju Melayu lengkap bersamping ketika menonton filem di panggung wayang pada 1 pagi kelihatan agak janggal, namun itu pemandangan biasa di Sarawak sepanjang tujuh hari sambutan Aidilfitri.
Tidak kelihatan kekok sebaliknya aktiviti seharian dalam tempoh tersebut sama ada di pusat beli-belah, kedai makan atau semasa ‘bejarah’ (berziarah) dengan berbaju Melayu membuatkan suasana sambutan lebaran terus terasa.
Mengimbau kembali tradisi yang sudah lama diamalkan serta masih dikekalkan di Sarawak itu pesara kerajaan Abdul Wahab Satim, 69, dari Kampung Tanjung dekat sini berkata, beliau akan memastikan pada setiap sambutan lebaran untuk memiliki sekurang-kurangnya sepasang baju baharu.
“Sejak kanak-kanak serta remaja lagi, saya sudah pastikan untuk berbaju Melayu dalam tempoh tujuh hari sambutan Hari Raya. Jika tidak bersamping pun, dalam tempoh tersebut mesti pakai baju Melayu.
“Hari pertama saya pakai baju baharu, selepas itu pakai semula baju Melayu yang digunakan pada sambutan Hari Raya yang lalu. Apabila memakai baju kebangsaan itu ‘mood’ raya terus ada, lagipun setahun sekali kan kita sambut raya tidak salah untuk terus memakai dalam tempoh tujuh hari ini,” katanya kepada Bernama.
Ketika ditemui di sebuah pusat beli-belah Abdul Wahab yang lengkap memakai baju Melayu bersama sampin dan bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, beliau akan memastikan anak serta cucunya akan terus mengekalkan tradisi unik ini.
Bagi Hapdzan Husaini, 41, seorang kakitangan awam di Putrajaya berkata beliau ‘bertuah’ kerana dapat pulang ke Kampung Pulo Hilir, di sini pada setiap sambutan Hari Raya.
“Sambutan di sini meriah, saya juga akan memakai baju Melayu selama tujuh hari dalam tempoh sambutan. Tidak semestinya baju baharu semua, kita boleh guna semula baju-baju Melayu pada sambutan yang lepas,” katanya. Sementara itu Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) Datu Dr Sanib Said berkata tradisi memakai baju Melayu selama tujuh hari pertama Aidilfitri itu bermula selepas Perang Dunia ke-2.
Sejarawan itu yang juga bekas Pengarah Muzium Sarawak berkata tradisi ini diamalkan di Kuching selama antara seminggu hingga sebulan.
“Di bahagian lain tiga hari. Amalan di Kuching ini bermula lepas Perang Dunia ke-2 sekitar 1947 sebagai antara cara menentang penjajahan British oleh masyarakat Melayu, khususnya di Kuching dan Sibu.
“Saya sangat menyanjung tinggi tradisi memakai baju Melayu. Saya dalam NGO ini akan berusaha mengekalkan dan meluaskan tradisi ini,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai pengarah Institut Kajian Asia Timur di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). – Bernama