Oleh Rafidah Jumat & Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Tujuh lelaki warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan menceroboh perairan negara ini untuk tujuan menangkap ikan.
Ho Trong Phuong, 41, Vu Tien Dat, 34, Lee Huu Phuoc, 34, Hoang Thinh, 28, Tran Van Nghi, 27, Nguyen Van Cao, 23, dan Ho Tuan Thanh, 22, didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 Ogos 2017 kira-kira jam 4:43 petang.
Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 17 (1) Perintah Perikanan 2009.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi membuat permohonan untuk kesemua tertuduh ditahan reman selama dua minggu bagi siasatan polis dan mendapatkan laporan daripada pihak perikanan, ukur dan tentera laut.
Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman, bagaimanapun memberi tempoh sehingga 31 Ogos untuk siasatan selesai dijalankan.
Jika sabit kesalahan, pemilik kapal atau ketua kru boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi $100,000, penjara tidak melebihi daripada lima tahun atau kedua-duanya manakala denda tidak melebihi $2,500, penjara tidak melebihi daripada setahun atau kedua-duanya akan dikenakan untuk setiap kru kapal.
Terdahulu itu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya melaporkan bahawa kapal Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), KDB DARUTTAQWA telah menahan sebuah kapal nelayan asing yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Brunei, kira-kira 30 batu nautika dari persisiran pantai Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu, tujuh orang nelayan asing didapati dalam kapal berkenaan yang mana kapal dan kesemua nelayan asing itu kemudian diserahkan kepada Polis Marin.