Wednesday, October 16, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    7 keutamaan bagi bangun budaya Sabah

    TUARAN, 26 FEB – Kerajaan Sabah menetapkan tujuh keutamaan dalam membangunkan bidang kebudayaan di negeri ini yang telah dimulakan sejak 2021 hingga 2030, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau berkata tujuh keutamaan itu ialah pendigitalan seni budaya atau eCulture; pelancongan budaya bersepadu; pemuliharaan budaya; pengukuhan hubungan etnik; penyelidikan dan dokumentasi budaya; pengembangan seni budaya; dan perlindungan harta intelek.

    “Tujuh keutamaan itu sejajar dengan inisiatif Sabah Maju Jaya dalam pembangunan budaya pelbagai etnik di negeri ini dan peranan tersebut dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

    “Kita mahu menerusi tujuh keutamaan ini, semua badan kebudayaan dan komuniti membangun bersama, menghayati dan menjiwai nilai kebudayaan yang diwarisi, seterusnya diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya merasmikan Duang Festival di Rumah Kebudayaan Rumpun Bajausama di sini, hari ini.

    Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan meluluskan empat projek berimpak besar berkaitan budaya dengan peruntukan RM4.5 juta iaitu Projek Pemetaan Budaya 2021-2025 dan Pelan Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah 2020-2030.

    “Selain itu, projek meningkatkan produk pelancongan Pusat Kebudayaan Murut Sabah di Tenom dan projek meningkatkan infrastruktur Pusat Kebudayaan Sabah Penampang. Kesemua projek ini sedang dalam proses pelaksanaan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda