Monday, May 12, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    7 maut bot pelancong karam

    BUDAPEST, Hungary, 30 Mei – Tujuh warga Korea Selatan terbunuh manakala 21 lagi masih hilang selepas sebuah bot pelancong karam hari ini di Budapest, lapor agensi berita Xinhua.

    “Tujuh mangsa dikejarkan ke hospital dan berada dalam keadaan stabil sementara tujuh lagi gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia,” kata jurucakap perkhidmatan ambulans nasional, Pal Gyorfi dalam satu sidang akhbar di Danube.

    Menurut agensi berita Hungary MTI, sejumlah 30 orang pelancong Korea Selatan dan tiga orang pemandu pelancong berada di dalam bot Mermaid yang karam itu.

    Bangkai bot sepanjang 20 meter dengan kapasiti 60 penumpang itu masih belum ditemui selepas ia bertembung dengan sebuah lagi bot persiaran lebih besar pada malam tadi, menurut pegawai dan laporan media.

    Polis dimaklumkan mengenai nahas itu pada 9.05 malam waktu tempatan, dan misi mencari serta  menyelamat bermula di hilir jambatan Margit.

    Seorang pakar selam yang ditemui pemberita berkata peluang untuk menemui mangsa yang selamat adalah tipis dan angka kematian dijangka meningkat.

    “Kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dari Korea Selatan dalam kemalangan bot di Danube,” menurut kerajaan Hungary di laman Facebooknya.

    “Kerajaan akan memberikan segala bantuan kepada polis, perkhidmatan kecemasan, penyelam, kakitangan ambulans dan doktor yang merawat mereka yang terselamat,” tambahnya. – Bernama/AFP

    Penyelamat kelihatan mencari di sungai Danube berhampiran zon di mana bot pelancongan Mermaid karam selepas bertembung dengan bot persiaran lebih besar dalam keadaan hujan di Budapest, Hungary, 30 Mei. Sekurang-kurangnya tujuh orang pelancong Korea Selatan maut dan 21 lagi masih hilang dalam nahas tersebut. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda