MEXICO CITY, 18 MEI – Tujuh orang, termasuk lima kanak-kanak maut dalam kebakaran rumah di Saltillo, sebuah bandar di negeri Coahuila, utara Mexico kelmarin, menurut media tempatan, lapor Xinhua.
Kebakaran itu berlaku kira-kira pukul 4 pagi dan merebak dengan cepat disebabkan bahan mudah terbakar seperti aseton, pelarut dan cat yang digunakan untuk tujuan kosmetik di dalam rumah berkenaan.
Pihak berkuasa mengenal pasti mangsa sebagai dua wanita berusia 64 dan 28 tahun, serta lima kanak-kanak berusia antara lima hingga 15 tahun. Tiga lagi cedera dan dibawa ke hospital tempatan. Penyiasat percaya kebakaran itu mungkin berpunca daripada sebatang lilin yang terkena bahan mudah terbakar berkenaan. Pasukan bomba, polis dan petugas kecemasan segera dikerahkan ke lokasi dan berjaya memadamkan api. – Bernama
