KYIV, 8 OGOS – Angka kematian akibat dua serangan peluru berpandu Rusia yang mengenai blok pangsapuri dan bangunan lain di bandar timur Ukraine meningkat kepada tujuh, dengan 81 orang cedera, kata pihak berkuasa, hari ini, ketika pegawai menuduh tentera Kremlin menyasarkan pekerja penyelamat.
Dua peluru berpandu Rusia melanda kawasan pusat bandar Pokrovsk, di wilayah timur Donetsk yang sebahagiannya diduduki oleh Rusia, pada petang kelmarin, kata pegawai.
Mangsa yang maut adalah lima orang awam, seorang penyelamat dan seorang askar, kata Gabenor Donetsk, Pavlo Kyrylenko. Seramai 39 orang awam cedera, termasuk dua kanak-kanak, 31 pegawai polis, tujuh pekerja kecemasan dan empat askar.
Peluru berpandu Iskander, yang mempunyai sistem panduan canggih, mengenai sasaran dalam selang masa 40 minit antara satu sama lain, menurut Kyrylenko.
Sejak permulaan perang, Rusia telah menyasarkan artileri dan peluru berpandu di tempat sama yang diserangnya sekitar 30 minit lsebelumnya, sering kali mengenai pekerja kecemasan yang telah ditempatkan di tempat kejadian.
Ia meruppakan satu taktik, dipanggil double tap dalam bahasa tentera, yang turut digunakan oleh Rusia dalam perang saudara Syria.
“Semua pegawai polis berada di sana kerana mereka diperlukan, berusaha untuk menyelamatkan orang ramai selepas serangan pertama,” kata Ketua Polis Negara Ukraine, Ivan Vyhivskyi, hari ini.
“Mereka tahu bahawa di bawah runtuhan terdapat orang yang cedera, mereka perlu bertindak balas, menggali, mengeluarkan dan menyelamatkan mangsa. Dan musuh dengan sengaja melancarkan serangan untuk kali kedua.” – AP










