Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    7 maut kebakaran di kompleks beli-belah Korea

    SEOUL, 26 SEPT – Satu kebakaran tercetus di tingkat bawah tanah sebuah kompleks membeli-belah di bandar Daejeon, Korea Selatan hari ini, meragut tujuh nyawa, kata pegawai.

    Anggota bomba terus mencari mangsa terselamat selepas memadamkan kebakaran, kata Go Seung-cheol, seorang pegawai di Ibu Pejabat Bomba Daejeon. Menurutnya, tidak jelas sama ada masih ada orang hilang atau sebaliknya, dengan asap masih kelihatan di beberapa bahagian bangunan itu.

    Kebakaran tercetus jam 7:45 pagi dan segera merebak ke seluruh tingkat bawah kawasan pemunggahan, membawa kepada pengosongan lebih 110 orang, termasuk pekerja kompleks membeli-belah itu serta pelanggan di sebuah hotel berdekatan. Pegawai mengatakan kerosakan boleh jadi teruk jika kebakaran tercetus pada masa perniagaan sibuk kompleks itu.

    Lebih 500 anggota bomba dan 90 kenderaan dikerahkan bagi memadamkan kebakaran sekitar jam 3 petang, kata Go. Gambar-gambar dari tempat kejadian menunjukkan asap hitam kelabu tebal keluar dari bawah bangunan ketika anggota bomba menggunakan hos air dan peralatan lain untuk memadamkan kebakaran.

    Pegawai bomba dari Jabatan Bomba Yuseong, Lee Seung-han mengatakan enam orang yang mati adalah pekerja kompleks itu dan pegawai masih mengenal pasti seorang lagi mangsa lain. Lee dan Go tidak mengulas mengenai punca kematian. Punca kebakaran bagaimanapun masih disiasat. – AFP

    Anggota bomba Korea Selatan memadam kebakaran di kompleks membeli-belah di Daejeon, Korea Selatan, 26 Sept. Kebakaran di tingkat bawah meragut tujuh nyawa, menurut pegawai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda