MADRID, 30 APRIL – Pihak berkuasa Sepanyol sedang menyiasat kematian tujuh individu yang dipercayai berkaitan dengan gangguan bekalan elektrik besar-besaran yang menjejaskan Sepanyol dan Portugal pada Isnin.
Kematian berlaku dalam pelbagai keadaan, namun kesemuanya berkemungkinan mempunyai kaitan dengan gangguan tersebut.
Kelmarin, anggota Pengawal Awam Sepanyol telah menemui mayat sepasang suami isteri warga emas berusia 81 dan 77 tahun, bersama anak lelaki mereka berusia 56 tahun di rumah mereka di Taboadela, sebuah pekan di wilayah barat laut Galicia.
Pihak berkuasa mengesyaki ketiga-tiga mereka maut akibat keracunan karbon monoksida dari asap penjana elektrik yang diletakkan di luar rumah.
Salah seorang mangsa dilaporkan mempunyai masalah pernafasan dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam insiden berasingan, seorang lelaki berusia 52 tahun maut di kawasan kejiranan Carabanchel di Madrid selepas berlaku kebakaran di sebuah blok pangsapuri sekitar jam 10 malam pada Isnin.
Tiga belas orang lain dirawat akibat terhidu asap. Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada lilin yang digunakan untuk pencahayaan semasa gangguan elektrik.
Tiga lagi kematian yang dikaitkan secara tidak langsung dengan gangguan tersebut turut dilaporkan di Galicia pada Isnin.
Di Ferrol, seorang lelaki berusia 59 tahun dengan masalah kesihatan sedia ada ditemui meninggal dunia. Manakala seorang lelaki berusia 80 tahun meninggal dunia di Betanzos, dan seorang lagi lelaki berusia 86 tahun meninggal dunia di Dumbria.
Gangguan elektrik peringkat nasional itu berlaku pada tengah hari Isnin dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan.
Perdana Menteri Pedro Sanchez berikrar akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian serta mengambil langkah pencegahan pada masa akan datang. – Xinhua