Saturday, February 8, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    7 pelajar UNISSA sertai program halal di Jepun

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Tujuh pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah berlepas ke Osaka, Jepun bagi mengikuti practical study abroad di bawah program The Osaka University International Certificate Program (Halal, Science and Technology) (OUICP-HaSTi).

    Pelajar-pelajar tersebut merupakan pelajar yang mengambil Master of Halal Science dan mereka akan berada di Osaka, Jepun selama 65 hari. Program itu merupakan kerjasama di antara Osaka University melalui Kampus ASEAN dengan beberapa institusi pengajian tinggi Brunei Darussalam termasuk UNISSA.

    Hadir untuk mengucapkan selamat berlayar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Pengarah di Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah bin Pengiran Haji Hashim dan beberapa tenaga akademik.

    Antara objektif penghantaran pelajar sarjana itu adalah bagi mendedahkan mereka dengan industri halal di Jepun dan yang berkaitan dengannya, menjalani penyelidikan dengan mengaitkan halal dengan aplikasi sains dan bagi menimba pengalaman dan pembelajaran di luar negara.

    UNISSA aktif dalam menyediakan pelajarnya dengan pelbagai program kecemerlangan akademik terutama sekali yang melibatkan penyelidikan. Dalam era globalisasi yang semakin mencabar kini, halal semakin menjadi perhatian di mata dunia bukan saja dalam kalangan masyarakat Islam tapi mendapat penerimaan daripada masyarakat bukan Islam.

    Justeru itu, universiti memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan mengenai konsep halal melalui penyelidikan yang dijalankan oleh pelajar-pelajar sarjana sebagai salah satu hub halal global, sesuai dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertua Negara Brunei Darussalam.

    Pengiran Dr Hajah Norkhairiah bergambar bersama pelajar yang akan berlepas ke Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda