Thursday, November 30, 2023
25.8 C
Brunei

    -

    7 premis perniagaan diambil tindakan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengambil tindakan ke atas tujuh buah premis perniagaan kerana gagal mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya di sepanjang bulan Oktober 2023.

    Dalam pemeriksaan rutin harian yang dilaksanakan pada bulan Oktober lalu, enam buah premis perniagaan telah didapati menjual beberapa jenis minyak masak melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

    Manakala, sebuah premis lagi didapati tidak memaparkan tanda harga pada beberapa jenis sayuran dan buah-buahan yang dijual di premis berkenaan.

    Berikutan itu, lima notis amaran telah dikeluarkan ke atas premis-premis terbabit. Makanala, dua syarikat dikenakan tindakan kompaun.

    Salah seorang pegawai JPES semasa menjalankan pemeriksaan rutin harian di salah sebuah premis perniagaan. – Gambar serahan JPES

    Dalam kenyataan akhbarnya, JPES mengingatkan para peniaga untuk sentiasa bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan perniagaan yang beretika dan sentiasa mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 khususnya melibatkan barangan yang dikawal harga untuk tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan serta memastikan barangan yang dijual sentiasa dipamerkan tanda harga yang jelas, tepat dan tidak mengelirukan.

    Maklumat harga maksimum bagi barangan yang dikawal harga boleh diperolehi di dalam aplikasi mudah alih PenggunaBijak dan di laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn/cad.

    Sebarang pertanyaan atau aduan pengguna berkaitan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 boleh disalurkan ke JPES melalui Aplikasi mudah alih PenggunaBijak; Talian Darussalam 123; atau e-mel aduanpengguna@jpes.gov.bn dengan menyertakan dokumen sokongan seperti resit pembayaran dan gambar sebagai bukti.

    – Gambar serahan JPES

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    China gesa gencatan senjata menyeluruh segera

    BEIJING, 30 NOV - China hari ini menggesa ‘gencatan senjata kemanusiaan yang berterusan’ dalam konflik Israel-Hamas dalam kertas jawatan yang dikeluarkan oleh kementerian luarnya. "Pihak-pihak...